Pages

Wednesday, October 10, 2012

Sekadar renungan bagi yang bergelar ibu bapa

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu
daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala.
Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya.
Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan
apa yang diperintahkan"
[al-Tahrim 66 : 6]

Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan saya tidak dihargai.
Saya bukan meminta kelebihan. Apa yang saya pohonkan ialah pada beberapa
kotak kosong di dalam diari bulanan saya, ia adalah masa saya untuk isteri
dan anak-anak.

"Bolehlah ustaz, janganlah macam itu. Anak hari-hari boleh jumpa. Kami sudah
tiada masa lain yang sesuai untuk menjemput ustaz. Harap ustaz dapat
pertimbangkan permintaan kami", kata seorang pemanggil yang menelefon saya.

Dialog seperti ini meletakkan saya pada situasi yang menjadikan saya serba
salah. Mengapakah masa seorang ustaz untuk anak-anaknya tidak dianggap
penting?
Bukankah itu sesi beliau menunaikan kewajipan nafkah kasih sayang, didikan
dan perhatiannya kepada anak- anak. Semasa saya kecil, saya tinggal di
sebuah kawasan perumahan dan seawal usia 10 tahun, saya pernah membuat
kesimpulan bahawa budak-budak jahat pada masa itu, sama ada anak ustaz, tak
pun anak polis!

Alangkah prejudisnya saya semasa itu. Saya tidak faham bagaimana saya boleh
beranggapan sedemikian rupa.
Mungkin kerana geram saya apabila basikal yang ayah belikan, dibengkokkan
oleh si Samseng Kampung Dusun, anak seorang ustaz. Tetapi hari ini hati saya
menjadi gundah semula. Terutamanya selepas menerima maklum balas seperti
dialog di atas.

Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Itulah peribahasa Melayu yang amat menusuk perasaan saya. Ketika saya menaip
artikel ini, Saiful Islam dan Naurah sedang tidur nyenyak di depan saya.
Memandang mereka telah meretak hibakan hati saya.

"Maafkan Abi, wahai anak-anakku, Abi berdosa mengabaikan kalian", saya sukar
menahan hati dari bersedih.

Saya masih ingat, semasa saya di Ireland, usaha saya mendidik dan
membesarkan Saiful Islam, ternyata amat mudah. Malah saya setiap hari
memanjatkan syukur kepada Allah kerana Saiful Islam amat mudah untuk diurus.
Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak keberatan untuk membawa anak
sulung saya ke masjid, saya baringkan di kepala sejadah dan matanya
berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah Jumaat.

Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan kesalahan, caranya
amat mudah. Saya tunding jari, tanpa perlu membuka bicara, Saiful Islam
sudah menghamburkan air mata takutkan `kemarahan' saya.

Tidak dinafikan, ketika itu mungkin usia anak saya baru setahun dua. Memang
tidak susah menjaganya.
Tetapi apabila saya fikirkan, hari ini saya tetap saya yang sama. Anak
bertambah, usia mereka juga bertambah, tetapi mereka tetap berayahkan ayah
yang sama. Tetapi kenapa hari ini, fikiran saya selalu kusut memikirkan
mereka?

Ya, suasana di Ireland amat saya rindui. Saya duduk di negara Kuffar, tetapi
usaha mendidik anak memang mudah dan menggembirakan.

Saya tidak menyesal menjadi `suri rumah' selama beberapa tahun. Saya
bertugas secara sambilan di beberapa masjid, menyambung pengajian Master
secara distance learning dengan The Open University, UK, dan sambil itu saya
menjaga soal makan minum, hal ehwal rumah tangga, dan Saiful Islam membesar
di depan mata.

Itu lebih baik, daripada saya bekerja sebagai kasyer di pasar raya, kemudian
semua gaji dibayar kepada nursery yang mencecah harga ratusan Euro sebulan.
Masakan tidak, semua nanny memegang Ijazah Early Childhood Learning malah
mahir pula dengan rawatan kecemasan Paedriatrik dan first aid.

Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Isteri saya
sibuk bekerja di wad kecemasan hospital, shifnya tidak tentu siang malam.
Maka saya mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya mandikan anak,
menyalin bajunya, menggoreng kentang atau pasta kosong untuk sarapan. Saya
bermain bersamanya seketika, kemudian ke dapur memasak untuk makan tengah
hari. Saiful Islam tidur semula sekitar jam 11 dan saya naik ke bilik
ulangkaji untuk membuat assignment. Zohor kekadang di masjid, jika cuaca
baik.

Tengah hari saya qailulah seketika, solat Asar dan kemudian membawa Saiful
Islam ke hospital untuk mengambil isteri saya dari tempat kerjanya, pulang
bersama sambil menghirup udara petang yang segar.

Ketika di Naas, kadang-kadang kami melencong ke belakang hospital bersama
roti keras yang saya bawa dari rumah, untuk memberi burung undan di tasik,
makan petang bersama kami. Saya mencampak roti ke tasik, Saiful Islam dan
Umminya turut sama.

Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital menghantar nasi dan lauk,
khususnya semasa isteri saya mengandung anak kedua kami, Naurah Sabihah.
Suasana ketika itu memang nyaman, fikiran saya tenang dan prolifik, kegiatan
kemasyarakatan banyak dan saya sanggup mengayuh mountain bike selama 2 jam
untuk memberi kuliah Tafsir Surah Yasin kepada adik-adik yang tinggal di
South Circular Road, Dublin.

Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di Ireland. Memang hati kami
sunyi tidak mendengar laungan azan dari menara masjid bertahun lamanya.
Namun derita melihat laungan azan tidak diendahkan di Malaysia, lebih
menghiris rasa.

Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia. Cabaran membesarkan anak- anak
semakin meruncing.

Semasa di Ireland, saya pernah berbual dengan isteri sambil merenung
daun-daun perang gugur di petang musim luruh.

"Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di Ireland sampai usia anak kita
mencecah umur tadika. Apabila dia perlu bersekolah, kita harus pulang ke
Malaysia", saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa depan kami.

Isteri saya mengangguk tanda setuju.

Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan Aqidah anak saya. Tentu
sahaja saya patut risau.
Semasa bertugas sebagai Pengetua dan guru di Belfast Islamic School, saya
ada banyak pengalaman yang menakutkan. Selain kisah di Belfast Zoo dan
cerita evaluation test anak-anak murid kami, saya juga tidak lupa kepada
suatu insiden di sebuah pasar raya di Lisburn Road, Belfast. Seorang anak
muda bekerja sebagai kasyer di situ dan tag namanya tertulis "OMER".
Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras Asia.

Apabila ditanya sama ada beliau Muslim atau tidak, beliau termenung seketika
dan berkata, "my father is a Moslem!"

Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya risikokan kepada anak-anak
dengan menyekolahkan mereka di Ireland? Tentu sekali tidak.

Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan saya berubah sama sekali.
Kadang-kadang saya menangis sambil merenung jauh dari tingkap rumah kami,
"apakah selamat anakku membesar di Malaysia?"

Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya gariskan batas-batas
Iman dan Kufur kepada anak-anak.

"Jangan ikut perangai Spencer itu, dia bukan orang Islam!", saya boleh
menyebut begitu kepada Saiful Islam dan Naurah.

Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh berbicara dengan mudah bahawa
yang jahat itu bukan Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam
yang satu. Garis hitam putih amat jelas.

Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin, Shahril, semuanya
lebih kurang sama. Perangai dan akhlak tidak banyak berbeza. Grey area
melebar luas.
Nak dikatakan tidak Islam, dia Islam. Tetapi kelakuannya tidak mencerminkan
agama di kad pengenalannya. Habis, mudahkah saya menerangkan semua ini
kepada anak-anak? Saya tabik kepada rakan yang sanggup menyekolahkan anak-
anak di SRJK(C), walau pun terpaksa berulang ke sekolah menghantar bekal
makanan sendiri. Semuanya kerana mereka mahu anak-anak membesar di dalam
suatu suasana yang garis hitam dan putihnya jelas.

Mampukah saya begitu? Entahlah...

Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya semasa di Ireland.
Hari ini apabila anak-anak buat semak, ada kalanya macam mudah benar untuk
darah saya tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah selepas dua
jam meredah lautan kereta. Syukurlah saya banyak berusaha membaca dan
belajar tentang topik-topik yang membina sikap pro aktif. Saya cuba menapis
setiap insiden, agar saya memberikan respond yang tepat dan bukannya marah
berbalas marah, geram berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.

Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah keluarga Stephen Covey.
Profesyennya sama seperti saya. Kami selalu out station untuk memberikan
training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey, mempunyai 9 anak dan dia
tidak pernah terlepas daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting
berkaitan dengan anak-anaknya.

Bukan suatu yang mudah untuk seorang American membesarkan 9 anak. Saya yang
dua ini pun sudah pening kepala.

Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak dengan tengking dan
leteran. Lagi banyak kita menengking, lagi cepatlah bisanya hilang. Saya
tidak percaya kepada pendekatan marah sebagai teknik default menegur
kesalahan anak. 
Berapa ramai yang menjadi baik hasil siri marah di sepanjang
usia membesarnya? Apa yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan menjadi
pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari nanti. 

Ingat, 
anak kita mungkin gagal mengikut kata-kata kita, tetapi mereka tidak
akan gagal meniru perangai dan tingkah laku kita sebagai ibu dan bapa.

Jika anak kita buruk kelakuan, jangan cari sebab yang jauh. Anak- anak
adalah cermin wajah ibu dan bapa mereka
.

Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya. Saya
lebih suka bercakap dengan anak-anak dan cuba memahamkan mereka kenapa
satu-satu perbuatan itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin, saya
akan tangkap dia dan mandikan agar `sejuk', kemudian saya ke bawanya ke
bilik dan kami berdialog.

Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke belakang,
saya sentiasa setia melayan.
Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal badan, semuanya
diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang ingin dikongsi oleh
Saiful Islam dan kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad Grandsazer
dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya mendengar dan menunjukkan kasih kepada
anak-anak.

Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi anak
saya, ialah kerana saya rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah
kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan tidak aqil aligh ini kepada
saya dan ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap
mereka.

Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah dan sebahagian
cita-cita saya, agar akhlak mahmudah isteri akan tumpah kepada anak-anak
suatu hari ini.
Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan perkara yang sama.
Pendidikan anak-anak bermula dengan memilih ibu yang baik untuk mereka.

Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak?
Turunkah baik saya kepada anak-anak? Sukar untuk menjawab soalan ini kerana
orang sebenar yang membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika
atau pembantu rumah Indonesia. Alhamdulillah jika yang Indonesia itu
orangnya baik, bersolat dan menjaga batas-batas agama. Bagaimana dengan yang
berpembantu rumah seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau
Filipina.

Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang
seri di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika
saya sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan
akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?

Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru
nursery, dan entah siapa lagi.
Ibu dan ayah di mana?

Jawapannya mudah sahaja, 
SIBUK BEKERJA

Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana 
makan pakai anak-anak sudah cukup. Itu hanya taraf lembu membesarkan 
anak-anaknya. 
Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu. Soal makan, 
minum, pakaian, perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan spiritual, 
semuanya mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak putus-putus. Apa yang 
paling utama adalah soal jumlah masa yang kita luangkan bersama mereka. 
Sudah cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar kasihkan 
mereka? 

Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak lain. 
Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin 
semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita. 

Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap anak-anak, 
lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada kita. 


Insaflah wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih 
diberi. 

Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret 
saya ke suasana yang menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab kepada 
anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah mad'u pertama 
saya. 

Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita singgah di Tapah 
untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi 
selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak kita 
tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari U-Turn dan mulut tidak 
henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada 
mudarat. 

Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita ada jalan untuk 
berpatah balik menyelamatkan keadaan. 
Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera, pegawai bank dan 
kita-kita semua yang ketika dalam perjalanan memanjat tangga kenaikan 
pangkat, kita tertinggal isteri dan anak-anak di belakang. Jika lebuh raya 
kita boleh berpatah balik. Tetapi jika mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan 
didikan Islam, ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan 
di belakang, apakah ada jalan pulang? 
Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA. 

Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa 
kepada pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka. 

Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda Kiamat itu adalah 
pada ibu yang melahirkan tuannya. Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana begitu boleh terjadi? 

Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di akhir zaman, bermula 
dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!



kepada Maryam,

maafkan walid dan ummi....